Tuesday, March 8, 2011

SEJARAH OLAHRAGA
Sejak bertahun-tahun dahulu lagi kekuatan dan keupayaan manusia dinilai menerusi
perlakuan berlari, melompat dan melontar. Seseorang yang mempunyai ketiga-tiga kemahiran
asas ini dianggap sebagai seorang yang berkedudukan tinggi pada mata masyarakat dan
pemerintah. Kekuatan menjadi sesuatu yang dikejar dan diimpikan oleh setiap individu
khususnya kaum lelaki. Kemahiran-kemahiran ini diperkembangkan lalu diperbaiki dari
semasa ke semasa sehingga menjadi sukan yang kemudiannya dipertandingkan.
Tujuan diadakan pertandingan hanyalah semata-mata untuk mencari siapa yang lebih
pantas, melompat lebih tinggi atau melontar lebih jauh daripada yang lain. Untuk mencapai
hasrat ini, setiap individu akan berusaha menandingi yang lain dan akhirnya wujud ciri-ciri
ingin berjaya, ingin menumpaskan lawan dan mewujudkan sifat berlumba sesama individu.
Mereka yang menang akan berusaha mengekalkan kemenangan itu atau berusaha untuk
meningkatkan keupayaan supaya kejayaan dapat dikekalkan. Bagi mereka yang gagal pula
sudah tentu akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menumpaskan lawan dan muncul
sebagai pemenang pula. Di sini mula wujud suatu pertandingan yang sudah tentu menarik
dan mendapat perhatian orang ramai.
Pertandingan seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa dan semakin ramai pula
individu yang mahu mengambil bahagian untuk menguji kebolehan. Lama kelamaan lebih
ramai yang mengambil bahagian bagi menguji keupayaan masing-masing. Untuk mencapai
kemenangan sudah tentu mereka akan berlatih bersungguh-sungguh dan akan mempamerkan
kebolehan sebenar semasa pertandingan. Ini menjadikan pertandingan untuk menguji
kebolehan itu lebih menarik dan berjaya pula menarik minat orang ramai di merata dunia.
Walaupun ada kalanya bentuk pertandingan agak berbeza-beza, namun matlamat dan
tujuannya sama.
Hari ini kita dapat melihat di merata tempat di dunia, pelbagai bentuk pertandingan
diadakan untuk menguji kebolehan dan kekuatan manusia, malah terdapat juga pertandingan
dikalangan wanita. Inilah yang mewujudkan pertandingan ‘olahraga’ atau ‘athletics’. Sejak
zaman Sebelum Masihi lagi sudah terdapat pertandingan olahraga ini, khususnya di kalangan
penduduk Greek Kuno.

No comments:

Post a Comment